Pages

Wednesday, May 19, 2010

Maryam Mariam

Hasil Karya: InsanYalin

Kekeruhan di wajahnya jelas kelihatan. Dia diserang ketakutan yang teramat. Seangin pun tiada ketenangan yang bermukim di lubuk hatinya. Hanya kekocakan! Hanya kegerunan yang bersulam kecelaruan! Menerawang di fakulti mindanya akan natijah yang bakal memamah dirinya lantaran pelakuan kejahilannya itu. Otaknya ligat mencari tar penyelesaian. Dia benar-benar berdiri atas paksi kerungsingan teramat. Terpaku resah!

I
“Sesungguhnya aku pesuruh Tuhanmu, untuk menyebabkanmu dikurniakan seorang anak lelaki yang suci,” bicara yang berjaya merencat kedamaian di lubuk hati Maryam.

Maryam kelihatan takut dengan hadirnya pemuda yang terlalu sempurna bentuk kejadian parasnya. Tanpa sedar ada manik-manik jernih dan halus muncul di permukaan epidermis wajahnya. Lantas doa dipanjatkan kepada yang Esa agar kegundahan yang bermukim di hatinya segera lesap. Umpama asap dengan ghaibnya pemuda yang berwajah mulus itu. Namun sebaik sahaja mendengar bahawa hadirnya pemuda itu atas perintah Allah, dia membenarkan telinganya untuk mendengar dan mulutnya terbuka untuk berbicara. Merelakan bibir dan lidahnya mengalun dan melentur kata untuk mengetahui.

“Bagaimana aku akan peroleh seorang anak lelaki, sedangkan aku tidak pernah disentuh oleh mana-mana lelakipun dan aku bukannya seorang perempuan yang jahat!”, balas Maryam dengan nada bercura berbaur kehairanan yang teramat.

“Tak usah dihairankan! Tuhanmu berfirman bahawa hal itu amat mudah bagi-Nya, andai jadi talunan kalam-Nya, maka jadilah ia tanpa ada yang mustahil lagi”

Maryam terpinga. Perasaan inkuirinya meluap-luap. Akan ada satu roh yang bakal ditiupkan ke dalam rahimnya, itu yang pasti! Bakal ada satu benih suci yang akan membesar di dalam uterusnya, itu yang dijanjikan! Bakal ada satu nyawa yang akan bernadi riang yang memerlukan ruang di tubuhnya. Itu kenyataannya! Maryam memejamkan matanya. Betapa berharganya diri atas pemilihan ini. Tangga kesyukuran dipanjat dengan pujian melangit buat-Nya.

Pemberian anak itu adalah sebagai tanda yang membuktikan kekuasaan Kami! Itu pemberian rahmat dari Kami! Dan itu adalah perkara yang telah ditetapkan akan berlaku maka ia pasti akan berlaku walau getir halangannya, namun yang pasti tiada yang mustahil bagi ALLAH. Segala-galanya pasti, jelas dan mudah bahana qudrat, wahdaniah, qaadiran, muridan dan segala yang terdapat dalam sifat dua puluh itu adalah afal-Nya. Maka tiada yang mustahil bagi-Nya lagi. Tiada!!


II

“Benar, apa yang dikatakannya benar ayah! Ini semua benjana Ilahi kita manusia tidak dapat menabraknya apatah lagi menolaknya”.

“Tapi kecelakaan itu dia yang mencarinya! Masih lagi dia mahu menyalahkan kuasa-Nya! Sedangkan akal yang dikurniakan untuk memperhalusi nafsu itu tidak diendahkan semasa dia hanyut dalam nikmat kurniaan syaitan laknat!!”marah ayah.

“Bukan ayah. Bukan begitu. Dia Mariam. Mariam yang melahirkan Isa tanpa ayah. Dia Mariam, wanita suci yang diuji Allah akan keimanannya”

Terbelalak mata si ayah mendengar bicara anak bongsu perempuannya itu. Mulutnya juga terlopong lantaran momentum kejutan terperanjat yang teramat sangat. Bagaimana anaknya dapat melontar kenyataan sehanyir itu dengan penuh keyakinan! Bagaimana anaknya itu boleh berpendapat sedangkal itu? Astaqfirullah halazim!! Wahai Tuhanku berikan aku kekuatan! Jantungnya berdenyut pantas. Dapat dirasakan darahnya mengalir deras keseluruh anggota badannya kecuali peparu melalui sistem peredaran sistemik.

“Ayah, jangan marah kakak ayah. Dia tidak bersalah. Jangan benarkan dunia menghukumnya lantaran kejahilan dalam menilai kebenaran!”rayu si anak lagi.

“Siapa yang jahil! Ajaran apa yang mengacum akalmu ini wahai anak? Kebabukan apa yang mendiami dirimu hingga kau berbicara selantung itu?” balas ayah. Lahar marahnya membuak berbaur nyala. Kenyataan dari si anak seolah-olah memangkinkan lagi pembuakkan lahar yang menunggu masa untuk meletup!


III

“Wahai Maryam! Sesungguhnya engkau telah melakukan satu perkara yang besar salahnya!”. Berbicara kaumnya dengan lantang apabila melihat Maryam pulang dengan mengendong seorang bayi kecil. Rupanya kehilangan Maryam bersebab! Dia menyembunyikan satu kelahiran dari pengetahuan kaumnya. Mereka memandang Maryam dengan rukyah mata yang keji. Berprasangka yang buruk!

“Wahai saudara perempuan Harun! Bapamu bukanlah seorang yang buruk akhlaknya, dan ibumu bukan seorang yang jahat! Tak patut bagimu melahirkan seorang anak yang tidak berbapa”. Maryam hanya membisu mendengar kejian dari kaumnya itu. Dia menjawab setiap kejian itu dengan hanya berdiam diri walau naluri kewanitaannya hancur diguris. Walau empangan air matanya bagai ingin pecah menghujani tubir matanya. Segera disalikan hatinya. Isbir. Dia yakin dengan janji Allah. Lantas disuakan anak yang digendongnya itu bagi menjawab segala pertanyaan serta kemusykilan kaumnya itu.

Tindakan Maryam membuatkan hampir semua kaumnya mencebik ke arahnya. Ada yang menggelengkan kepala. Ada yang berbisik-bisik sesama sendiri. Ada yang mengeji serta memandangnya dengan penuh benci dan meluat.

“Bagaimana kami boleh berbicara dengan kanak-kanak yang masih di dalam buaian ini Maryam?” akhirnya salah seorang dari mereka melontarkan kemusykilan yang bermukim di hati setiap insan yang mengerumuninya. Maryam masih lagi enggan berbicara. Semakin segera dia menunjuk kepada anaknya itu. Biarlah kebenaran itu terluah bukan dari mulutnya.

“Maryam pendusta!” satu suara memulakan kekecohan. Belum sempat lagi suara yang lain menyahut. Tiba-tiba bayi di pangkuan Maryam bersuara. Gempar!

“Sesungguhnya aku ini hamba Allah: Ia telah memberikanku Kitab Injil dan Ia telah menjadikan daku seorang Nabi,” bicara bayi kecil itu kini bermula. Bertalun mengisi ruang di antara langit dan buana.

Semua mulut terlopong. Pergerakan menjadi kaku, badan menjadi pegun segalanya terkunci lantaran terkejut dengan satu keajaiban Tuhan! Sungguh! Bayi sekecil itu boleh berkata-kata. Masakan bayi yang sesuci dan masih mentah itu boleh berdusta! Ia terlalu mentah untuk berdusta! Terlalu mentah! Pasti talunan bicaranya itu benar! Akal waras mereka mula berkata-kata. Ajaib! Sungguh ajaib!

“Dan Ia menjadikan daku seorang yang berkat walau di mana sahaja aku berada, dan diperintah daku mengerjakan solat dan memberi zakat selagi aku hidup. Diperintahkan aku juga agar taat dan berbuat baik kepada ibuku kerana Ia tidak menjadikan aku untuk menjadi orang yang takbur atau derhaka. Dan segala keselamatan dan kesejahteraan dilimpahkan kepadaku pada hari aku dilahirkan, dan pada hari aku mati, serta pada hari aku dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat”, begitu petah anak kecil itu berbicara. Sungguh Ia berjaya mengkagumkan semua!

Secara tidak sedar nama Maryam wanita yang suci itu yang tadinya dikotori arang hitam yang pekat terus tersuci jernih. Maryam memang hamba yang kuat beribadat serta solehah. Itu kebenaran yang hak!Maryam memang wanita yang suci!! Kenyataan yang tidak dapat disangkal lagi!


IV

Mariam datang mendapatkan ayahnya dengan bayi yang dikendongnya. Bayi itu baru berusia seminggu. Bayi yang masih merah itu direnung dalam dengan kegundahan hatinya untuk berdepan dengan bapanya.

“Siapa bapa pada anakmu ini Mariam?” tanya ayah. Sedaya upaya dia cuba menyembunyikan rasa amarahnya itu. Tidak mahu menurut kata hatinya. Kalau diturutkan pasti Mariamnya ini sudah tidak bernyawa dikerjakan lantaran amarahnya yang membuak-buak. Perbuatan yang sungguh memalukan! Terlalu! Perlakuan yang seolah-olah mirip orang yang tiada pegangan. Tiada agama!

“Anak ini tidak berbapa ayah”, kata-kata yang tersekat itu akhirnya keluar juga dari mulutnya. Kata yang mengulum dusta.

“Mana boleh anak ini tidak berbapa. Jangan kau cuba tambahkan lagi keburukanmu Mariam dengan pendustaanmu ini. Kesalahan yang kau lakukan ini telah cukup besar! Cukup hebat buat aku yang telah tua ini untuk menerima tamparan sedahsyat ini!”

“Benar ayah. Anak ini tidak berbapa. Lupakah ayah tentang kejadian Isa yang tidak berbapa itu”.

“Kau jangan cuba nak bodohkan aku Mariam! Jangan naikkan darah aku ini dengan kenyataan kejahilan kau itu! Jangan kau samakan Maryam yang suci itu dengan diri kau yang keji ini!” marah ayah. Darahnya seolah dididihkan dengan kenyataan berbaur kejahilan itu. Benar-benar menyingkap amarahnya.

“Ayah saya juga Mariam. Mungkin Tuhan mahu saya mengulangi sejarah,” lantunnya sedikit berani.

“Hei dengar sini Mariam! Kau tak layak menyamakan diri kau dengan Maryam yang harum namanya dipersada sejarah. Maryam itu kisahnya tercatat di dalam Al-Quran. Maryam itu terkenal dengan kesolehannya dalam melakukan ibadat,” jerit ayah sambil mengurut dadanya. Isteri dan seorang lagi anak perempuannya memandang dengan bayangan kerisauan yang menyelubungi wajah. Namun dia tidak peduli. Anak sulungnya ini perlu diajar memperbaiki laku. Perlu ditunjuk agar jangan merapu.

“Kau itu Mariam yang lupa diri. Hidup berpeleseran. Bergelumang dengan kemaksiatan. Kalau aku tahu awal-awal lagi tak akan aku izinkan kakimu melangkah ke luar negara. Bukan sahaja ilmu pengajiannya yang kau cedok pulang! Budaya jahiliah mereka kau serap menghalusi setiap pekerti dan peribadimu!”

Teringat dia, dulu Mariamnya itu bertudung litup. Dulu Mariamnya itu diasuh dengan saratan ilmu dunia dan agama. Dulu Mariamnya memberi bangga di hatinya. Kini Mariamnya pendusta! Kenapa tidak sahaja kau melantun benar. Pasti kesalahan itu akan ku pandang sepi, desis hati ayah . Aku akan menerimamu kembali lantaran kau anakku, sambungnya lagi. Hatinya ditumpuhi ranting-ranting kesayuan.

“Ayah saya Mariam moden!” lantang Mariam bersuara.

Pang!! Kenyataannya itu dijawab dengan tamparan padu yang hebat. Anakku ini perlu disedarkan. Dia telah sesat. Sesat dengan mengaku dirinya Maryam. Sesat dalam kejahilan, kegelapan yang teramat. Ya ALLAH betapa aku gagal mendidik anakku ini. Ayah itu menangis. Lututnya bergetar. Dia akhirnya jatuh terduduk. Air matanya bertali arus. Hatinya pecah beretak-retak. Matanya mula berpinar dan dia akhirnya rebah!

“Ayah!”


V

Kekeruhan di wajahnya jelas kelihatan. Dia diserang ketakutan yang teramat. Seangin pun tiada ketenangan yang bermukim di lubuk hatinya. Hanya kekocakan! Hanya kegerunan yang bersulam kecelaruan! Menerawang di fakulti mindanya akan natijah yang bakal memamah dirinya di atas pelakuan kejahilannya itu. Otaknya ligat mencari tar penyelesaian.

Kepekungan bisa terloncat keluar. Perutnya ini bakal membesar.Makin berisinya perut ini bermakna bakal bercurahlah kejelikan untuknya nanti. Anak ini berbapa tapi entah siapa? Bagaimana ya? Bagaimana?

Matanya terpandang keratan berita di dada akhbar. Berita mengenai seorang pemuda yang mengaku dirinya Iman Mahdi. Dia tersenyum puas .Dia Mariam. Isa ibni Mariam.

TAMAT


No comments:

Post a Comment